buy me a coffee

Get cash from your website. Sign up as affiliate

Isnin, 23 Mei 2011

Vitamin E tokotrienol untuk jantung

Soalan: Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan kolesterol. Selain mengambil ubat, saya disyorkan mengambil vitamin setiap hari untuk manfaat tambahan. Sebelum ini saya tahu vitamin E baik untuk kulit. Adakah Vitamin E mempunyai kelas yang berbeza?

Jawapan: Vitamin E merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan. Vitamin E bukanlah nutrien tunggal, tetapi merujuk kepada keseluruhan keluarga yang mengandungi lapan kompaun yang larut lemak. Vitamin E terbahagi kepada 2 sub-kumpulan, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap satu daripadanya mengandungi 4 ahli, iaitu Alfa, Beta, Gama dan Delta.

Melalui makanan Vitamin E boleh diperolehi daripada minyak sayuran, bijian, kekacang, sayuran berdaun hijau, dan sesetengah makanan berasaskan bijirin yang diperkuat atau ditambah dalam formulasinya. Berbeza dengan vitamin E tokoferol yang lebih mudah diperolehi daripada pengambilan makanan harian, vitamin E tokotrienol lebih sukar kerana ia hanya hadir dalam kuantiti yang lebih kecil dalam makanan tertentu sahaja.

Cadangan pengambilannya sebagai suplemen tambahan kepada masalah kesihatan terutamanya jantung ada asasnya. Kajian di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Kanada, malah di Malaysia sendiri menunjukkan pengambilan vitamin E tokotrienol secara konsisten bermanfaat untuk beberapa masalah kesihatan.

Kajian yang dibuat sama ada ke atas manusia mahupun haiwan memperlihatkan vitamin tokotrienol memberi manfaat kepada penyakit kardiovaskular dengan mencegah pengoksidaan kolesterol berbahaya, iaitu kolesterol LDL yang menjadi punca utama penyumbatan arteri.

Penyelidikan yang dibuat di Kenneth L. Jordan Heart and Research Foundation centre, Amerika Syarikat mengesahkan pengambilan Tokotrienol harian sebanyak 240 miligram menunjukkan ia berkeupayaan membaikpulih penyumbatan arteri. Selain itu, vitamin E tokotrienol juga mempunyai kemampuan untuk merendahkan paras kolesterol dengan merencatkan atau pengawalan aktiviti enzim HMG CoA reduktase yang menyamai kesan tindakan ubat anti hiperlipidemia.

Manfaat hebat yang tentunya sangat dihargai adalah kesan positifnya ke atas kanser payudara. Hasil penyelidikan menunjukkan vitamin tokotrienol berkebolehan merencatkan sel-sel tumor kanser payudara. Sebaliknya, tokoferol tidak memperlihatkan kesan yang signifikan. Berbanding tokoferol, tokotrienol didapati memberi kesan sinergistik dengan ubat anti estrogen yang digunakan dalam pengurusan kanser payu dara.

Pada tahun 2007, kajian telah dibuat di mana paras tokoferol dan tokotrienol diukur dalam sel-sel payu dara di kalangan rakyat Malaysia yang diet mereka mengandungi minyak kelapa sawit. Hasilnya mendapati paras tokoferol adalah sama dalam kedua-dua sel payu dara yang bersifat benigna (tumor yang tidak berbahaya) dan juga malignan (tumor berbahaya). Walau bagaimanapun, konsentrasi tokotrienol adalah lebih tinggi dalam tisu-tisu lemak di kalangan wanita yang menga-lami benigna. Ini menyokong kenyataan bahawa tokotrienol memberi manfaat perlindungan daripada kanser payu dara.

Secara perbandingannya, vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai anti oksida berbanding tokoferol. Aktiviti anti oksida vitamin E adalah meluas. Ia memberi kesan perlindungan yang terlibat dalam mencegah pengoksidaan lipid dalam tisu-tisu dan sel. Aktiviti khusus pula termasuklah meneutralkan radikal bebas dan memperbaiki kerosakan sel, terutamanya membran-membran sel. Vitamin E seringkali dicadangkan untuk pelbagai masalah degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan katarak.Ia juga penting untuk kesihatan kulit dan rambut.


Sumber: Utusan

Makanan segera jadi lambang status



MENDUDUKI tangga keenam di rantau Asia sebagai negara yang mempunyai kadar penduduk obes yang tinggi semestinya fakta yang 'menakutkan'. Apatah lagi jika dilihat rangking di Asia Tenggara di mana Malaysia mendahului senarai. Tentunya perkembangan negatif itu memberi kesan kepada pembangunan negara selain menyanggah matlamat kerajaan mahu mewujudkan rakyat yang sihat mental serta fizikal. Peratusan dan angka telah terbentang. Namun ada kalangan rakyat negara ini enggan mengakui hakikat tersebut. Penjagaan diri dan keluarga terutama dari sudut pemakanan terus diabaikan. Maka lahirlah generasi muda obes, pada masa yang sama orang dewasa turut 'terjerumus'.

Dr. Natasha Ramli ketika ditanya perihal obesiti pantas memberitahu sering dikunjungi pesakit yang mengalami masalah berat badan keterlaluan. ''Jika ada 50 pesakit datang ke klinik, 10 mempunyai masalah berat badan,'' katanya ketika ditemui di Klinik Harmoni, Puchong Permai. Memandang berat masalah tersebut, beliau kini mengkelaskan obesiti sebagai penyakit yang mesti dirawat segera. Namun bagi Dr. Natasha, rawatan tidak akan berjaya tanpa kesungguhan serta kerjasama pesakit.

Atas sebab itu, beliau kini melihat proses merawat obesiti dalam konteks yang lebih luas. ''Jika saya didatangi seorang bapa berhadapan masalah berat badan, maka saya akan melihat juga keadaan anak-anaknya. Cara ini bagi membolehkan rawatan obesiti dijalankan secara holistik,'' katanya.

Dr. Natasha bersetuju bahawa faktor utama obesiti adalah kualiti pemakanan tidak dijaga sehingga makanan kaya gula dan karbohidrat memenuhi rak pasar raya, kantin sekolah/pejabat malah di luar tadika.

Trend masyarakat di negara ini pula tidak peka atau malas menyemak label kandungan menyebabkan pembelian produk makanan dilakukan secara semberono tanpa mengambil kira zat dan khasiat. Malah, ada yang terlalu percaya pada dakwaan pengiklan produk sehingga menjadikan sesuatu jenis makanan keutamaan untuk anak-anak.

''Ibu bapa sukar membezakan antara makanan yang berkhasiat dengan makanan segera yang kurang zat makanan.
''Besar kemungkinan kesan iklan membuatkan ibu bapa berasakan makanan ringan yang tidak berkualiti sesuai dengan gaya hidup moden,'' katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.

Dr. Natasha juga melihat kalangan masyarakat menjadikan makan segera sebagai lambang status zaman moden dan seakan satu kebanggaan apabila melangkah masuk ke restoran makan segera yang mahal harganya. ''Oleh kerana kehidupan moden berjalan dengan pantas maka makanan juga perlu pantas disediakan. Maka kita disogokkan makanan segera dengan perasa tiruan dan timbunan kalori yang tinggi,'' katanya.

Beliau menarik perhatian tentang ciri-ciri makanan segera biar pun mungkin perkara itu telah diketahui ramai. Katanya, makan segera biasanya mempunyai perisa yang menggiurkan lidah, cepat dimasak dan amat menyelerakan. Ini berkait rapat dengan proses bio chemical dalam tubuh badan dan tanpa disedari kita menjadi mangsa kegemukan.

Sambil melahirkan kebimbangan tentang obesiti di kalangan kanak-kanak yang disifatkan mangsa paling teraniaya, Dr. Natasha berkata, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak yang sepatutnya cergas tetapi kehilangan stamina. Masyarakat pula menerima kanak-kanak obesiti sebagai comel dan mereka sering dimanjakan. Akibatnya sehingga dewasa mereka dibelenggu oleh obesiti melampau.

Sebab itu fokus utama ibu bapa dalam mengawal pemakanan kanak-kanak sepatutnya bermula apabila mula berjalan. Ini kerana kebiasaannya apabila mula berjalan, kanak-kanak akan mengalami penyusutan berat badan. Berbeza dengan kanak-kanak obes yang tidak mampu bergerak cergas dan fizikal tubuhnya menghalang aktiviti cergas dan lasak.

''Keadaan ini menyebabkan pengumpulan lemak semakin meningkat. Ini adalah satu kitaran obesiti yang sukar dihentikan,'' katanya. Pemerhatian Dr. Natasya mendapati kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan 70 peratus akan membesar dan menjadi obes. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapanya obes kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan menjadi obes.

Di kalangan kanak-kanak dan remaja sering berlaku diskriminasi sosial terhadap si gemuk menyebabkan mereka tidak selesa ke sekolah. Gelaran dan jolokan kawan-kawan membuat dia malu dan berasa tersisih. ''Ibu bapa harus peka dengan situasi begini dan perlu menyuntik semangat serta menggalakkan mereka mengurangkan berat badan.

''Seorang kanak kanak atau remaja yang kecewa dengan keadaan obes seringkali berputus asa. Bila perasaan putus asa, mereka bersikap tidak endah dan marah dengan teguran-teguran mengenai keadaan dirinya. ''Kita perlu peka dengan keadaan ini dan harus mengambil pendekatan psikologi yang betul agar niat untuk membantu golongan ini menguruskan badan tidak dianggap mengkritik atau menghina,'' katanya.

Di kalangan orang dewasa juga wujud diskriminasi terhadap si gemuk tetapi tidak begitu ketara. Orang dewasa lebih bijak menangani emosi jadi jarang timbul isu diskriminasi yang melampau. Namun terdapat juga isu-isu yang menyebabkan orang gemuk tidak menjadi pilihan utama dalam alam pekerjaan.


Sumber: Utusan

Kawal kolestrol tinggi

KOLESTROL ialah bahan lembut seperti lilin yang terdapat dalam aliran darah dan sel badan kita. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon yang dibawa melalui lipoprotein. Lipoprotein Densiti Tinggi (HDL) adalah kolestrol baik yang mampu mengelakkan endapan kolestrol. Selain itu, Lipoprotein Densiti Rendah (LDL) merupakan kolestrol tidak baik yang boleh berkumpul pada dinding arteri dan membentuk plak yang menyumbat arteri.

Ini akan menyempitkan aliran darah dan oksigen yang membuatkan seseorang diserang sakit jantung atau strok. Justeru itu, amat penting bagi anda mengawas tahap kolestrol dan mengawalnya demi kesihatan jantung. Semua orang tahu bahawa kolestrol mempunyai kaitan dengan penyakit kronik seperti kardiovaskular atau strok. Kita selalu dinasihatkan agar tidak mengambil telur, santan, daging atau makanan berlemak lain apabila kita mempunyai tahap kolestrol yang tinggi.

Namun, apabila semua langkah itu tidak berjaya merendahkan paras kolestrol , tidak ramai yang mengetahui tindakan seterusnya. Salah satu caranya mengawal kolestrol dengan mengambil makanan serta minuman sihat yang mengandungi sterol tumbuhan.

Apa itu sterol? Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah. Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen. Antaranya, Blackmores Plant Sterols Plus memberi anda pilihan untuk menyeimbangkan LDL:HDL (kolestrol 'jahat': kolestrol 'baik') dalam tubuh menerusi sterol tumbuhan.  Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol. Selain itu, Ketika proses pencernaan, sterol bersaing dengan kolestrol dalam proses penyerapan. Dengan itu, kolestrol lebih sedikit diserap dan lebih banyak dikeluarkan.

Diet sihat

Diet yang sihat serta seimbang akan membekalkan nutrien harian dan komponen makanan lain yang membolehkan anda memiliki minda serta tubuh yang sihat dan juga bertenaga untuk menjalani aktiviti-aktiviti harian anda. Sebaiknya, makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada makanan khusus yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Makanan yang berbeza dalam kumpulan yang sama (seperti beras, roti dan bijirin sarapan) membekalkan nutrien yang berbeza dalam jumlah yang berbeza.

Makanlah diet yang seimbang berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak serta kurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Untuk mendapatkan keseimbangan kolestrol sihat, kurangkan kuantiti kolestrol dan makanan berlemak daripada daging.

Selain itu, tingkatkan pengambilan ikan (bukan ikan goreng) dan makan lebih buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian.

Gaya hidup sihat

Menjadi aktif secara fizikal adalah sama pentingnya dengan makan secara sihat . Aktiviti fizikal akan memperbaiki kesihatan kardiovaskular, kekuatan dan kefleksibilan membakar kalori untuk menjadikan anda sentiasa sihat dan langsing serta membuatkan anda kelihatan, rasa dan berfikir dengan lebih baik.

Senaman yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes di mana akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Sekurang-kurangnya bersenam selama 30 minit setiap hari dengan berjalan kaki. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, maka anda perlu bersenam dengan lebih kerap (dan untuk jangka masa yang lebih lama) untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

Sumber: Utusan

Rabu, 18 Mei 2011

Renjatan Jantung Malek Noor



MINGGU lalu, jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, rebah di padang bola sepak di Ipoh, Perak selepas mengalami sesak nafas.
Dia dikejarkan ke Hospital Pantai Ipoh dan doktor yang memeriksanya mendapati dua saluran arteri jantung milik penyandang enam kali Mr. Asia kategori heavyweight itu tersumbat.
Ekoran masalah itu, Malek telah diberi rawatan angioplasti iaitu pembedahan untuk membentuk semula pembuluh darah. Keadaannya bertambah baik dan stabil selepas itu.
Ditebak soalan punca serangan tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini masih mencari jawapannya.
“Saya terkejut dengan serangan tersebut kerana menurut doktor kandungan kolesterol dalam badan saya tidak terlalu tinggi.
“Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sudah beransur sihat dan boleh pulang ke rumah. Pengalaman diserang penyakit jantung memang sukar untuk digambarkan.
Tersumbat
“Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, rasanya seperti mati hidup semula. Sebaik saja sedar, saya hanya mampu mengucap kalimah syahadah sambil menangis,” katanya.
Serangan jantung Badang Asia itu mengejutkan banyak pihak.
Ini kerana dia bukan sahaja bertubuh sasa bahkan diiktiraf sebagai seorang jaguh bina badan. Malah, dia kini merupakan pengarah eksekutif di sebuah pusat kecergasan.
Namun, insiden baru-baru ini membuktikan manusia yang terkenal dengan rutin bersukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam pengambilan makanan sihat pun masih terdedah kepada serangan jantung.
Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya memberitahu aktif bersukan tidak semestinya sihat.
“Kerap bersukan tidak bermakna anda sihat secara sempurna.
“Ini kerana banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diambil berat selain senaman.
“Benar, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan tetapi ia perlu disokong dengan pengambilan makanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat.
“Memang ada orang yang mengamalkan rutin senaman atau bersukan tiga atau empat kali seminggu, tetapi bersenam sahaja tidak cukup untuk tampil sihat sekiranya kadar kolesterol dalam badan tidak dijaga.
“Begitu juga dengan pengambilan gula, tekanan darah tidak stabil dan merokok,” jelasnya.
Bukan untuk menakut- nakutkan, tetapi serangan jantung di atas padang yang membawa maut sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.
Ini termasuk vokalis kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45.
Popular dengan panggilan Shamrin, arwah dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, November tahun lalu.
Dalam kalangan atlet profesional, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.
Ditanya mengenai punca utama serangan jantung mengejut, Shaiful memberitahu, penyumbatan pada saluran arteri jantung, masalah kongenital dan injap jantung yang sempit boleh mendatangkan serangan tanpa sebarang tanda.
“Kolesterol adalah halangan utama yang mengganggu kelancaran saluran darah di bahagian jantung.
“Terdapat tiga urat besar di jantung kita yang diameternya sekitar tiga atau empat milimeter sahaja.
“Kehadiran lemak sering menyempitkan saluran tersebut dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan perokok dan penghidap kencing manis.
“Bagi dua golongan ini, lemak pada urat jantung mereka mudah rosak dan pecah. Apabila pecah, lemak akan bercampur dengan darah.
Pecah
“Percampuran antara lemak dan darah tersebut menjadikan darah membeku dan bergumpal.
“Gumpalan darah beku tersebut akan menghalang saluran darah dan urat akan tersumbat. Keadaan ini menyebabkan ada kawasan jantung yang tidak menerima darah.
“Akibatnya, jantung boleh mendapat renjatan dan gagal berfungsi. Pesakit pula pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal,” jelasnya.
Tidak hairanlah jika rawatan kecemasan tidak diberikan pada tiga minit pertama serangan, risiko untuk mangsa diselamatkan adalah tipis.
Melihat data kes yang dikendalikan di IJN sepanjang tiga tahun lepas, institut tersebut telah menangani 8,366 kes serangan jantung yang memerlukan pesakit diberi rawatan angioplasti.
Daripada jumlah itu, 24 peratus daripada pesakit berusia bawah 50 tahun dan 80 peratus daripadanya menghadapi masalah kolesterol tinggi.
“Dengan gaya hidup yang serba segera, serangan jantung dalam kalangan umur 25 hingga 27 tahun bukan lagi perkara yang mengejutkan.
“Masyarakat perlu lebih prihatin tentang kesihatan tubuh mereka.
“Jika bahagian tubuh luar yang cedera, kita dapat lihat, tetapi organ dalaman kita tidak tahu sedangkan ia lebih penting.
“Jalani pemeriksaan kesihatan berkala walaupun anda baru berusia 20-an. Jika usia sudah meningkat, kekerapan perlu ditambah kepada enam bulan sekali,” katanya.
Sumber: Kosmo

Kesan stres terhadap daya kerja

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan atau stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

"Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah," ujar Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Stres Kehidupan anjuran Hospital Gleneagles.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya. Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.Ujar Dr. Nor Hamidah, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Ramai wanita stres?

Menurut Dr. Nor Hamidah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.
Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Kebanyakan wanita pada peringkat umur 35 hingga 45 tahun mengalami emosi yang stabil kerana ramai yang mula bijak menguruskan kewangan sementara anak-anak pula sudah membesar. Berbeza dengan wanita yang baru mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak, mereka belum bijak menguruskan hal rumah dan kerja. Bagi wanita yang berumur 45 tahun ke atas, mereka pula berhadapan dengan perubahan hormon akibat menopaus.
Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Bijak 

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Dr. Nor Hamidah turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Pengurusan stres di pejabat

Justeru itu, setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak menganggu produktiviti pekerja. Kita lihat banyak kejayaan menerusi perlaksanaan pengurusan kerja di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada tahun 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada tahun 1995, Perkhidmatan Salah Tingkahlaku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja telah menurunkan 35 peratus masalahstres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang pengurusan ini, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor. Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

Ini penting untuk mengurangkan berlakunya darah tinggi - lelah - masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema - serangan jantung - sinus/resdung - hilangan fungsi seksual dan pembiakan - strok - masalah berat badan - gangguan tidur - cirit-birit atau sembelit - migrain - gangguan kebimbangan - ulser perut - sakit kepala - kemurungan.


Sumber: Utusan

Sabtu, 1 Januari 2011

Selamat Tahun Baru 2011 & Salam Takziah Buat Pelakon Adamaya, Faizal Yusof

Seluruh rakyat Malaysia menyambut Tahun Baru 2011 dengan penuh kegembiraan. Seperti biasa, Dataran Merdeka bermandi cahaya bunga api yang..Wowww, sangat menarik! Saya sambut tahun baru 2011 dimana? Di tempat kegemaran saya, dimana lagi kalau bukan di Pejabat sambil menonton siaran langsung di TV2 :)!  Saya perlu menyiapkan kerja-kerja yang perlu dihantar pada hari Isnin, 03 Januari  ini.

Satu berita yang amat mengejutkan untuk pembukaan Tahun 2011 apabila pelakon Adamaya, Faizal Yusof, 32 tahun disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung di PUSRAWI Jalan Tun Razak pada pukul 1.45 tengahari. Salam Takziah dan Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang Soleh.

Saya doakan agar kita semua sentiasa dianugerahkan dengan kesihatan yang baik sepanjang tahun 2011. Jangan lupa untuk mengamalkan rutin penjagaan kesihatan seperti bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

Salam ikhlas,
Najib Mat Nor,
Admin HerbaJantung.Com

Rabu, 22 Disember 2010

Pelancaran Herba Bio-Jantung

PETALING JAYA 6 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menubuhkan Majlis Herba Negara (MHN) untuk menjadikan herba sebagai satu program berimpak tinggi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pakar-pakar dari pelbagai kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) akan dilantik MHN bagi membangun dan mempromosikan industri herba tempatan.

"Malaysia mempunyai sekitar 6,000 spesies herba yang perlu dikaji potensi khasiatnya untuk tujuan komersial di dalam dan luar negara.

"Negara kita mampu menjadi negara pengeluar herba terbaik dunia jika industri herba ini dapat dibangunkan secara lebih tersusun dan teratur melalui kajian, promosi dan pemasaran berkesan.

"Saya percaya petani dan peladang di Malaysia akan menerima kesan secara langsung hasil usaha ini kerana herba mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya selepas melancarkan minuman herba Bio-Jantung (Bio-J) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badruddin Amiruldin, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Lincoln dan pengasas Bio-J, Profesor Datuk Dr. Badaruddin Nordin, Presiden Kolej Lincoln, Dr. Bibi Florina Abdullah dan Pengetua Kolej Lincoln, Dr. Amiya Bhaumik.

Minuman herba dari buah pokok Kastella itu dihasilkan sebagai alternatif untuk membantu pesakit jantung, strok, darah tinggi dan beberapa penyakit lain.

Produk itu dikeluarkan hasil penyelidikan selama dua tahun antara Kolej Lincoln, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Haaga-Helia di Finland serta Universiti Missouri dan Universiti Lincoln di Amerika Syarikat.

Menurut Noh, kementeriannya akan mengetuai inisiatif membangun dan mengkomersialkan industri herba memandangkan tiada kementerian yang bertanggungjawab membangunkan industri tersebut sebelum ini.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membantu dari segi penyelidikan melalui geran dan kemudahan penyelidikan.

"FAMA pula akan membantu dalam aspek pemasaran dan promosi bagi herba tersebut menembusi pasaran di dalam dan luar negara, termasuk dari sudut pembungkusan, melabel dan menggred produk," ujarnya.

Tambah Noh, konsep menjadikan herba sebagai tanaman sampingan bagi mempelbagaikan penggunaan tanah mudah dilaksanakan dan tidak mengganggu tanaman lain.

"Sebagai contoh, penanam pokok kelapa boleh menanam pokok koko di bawahnya dan boleh juga menanam herba di bawah pokok koko tersebut.

"Petani juga tidak perlu bergantung kepada hasil dari satu tanaman sahaja dan mampu menjana pendapatan tambahan dari beberapa jenis tanaman sampingan lain," jelasnya.


[Produk Herba Jantung boleh ditempah di www.HerbaJantung.Com]

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...